Sejarah Penubuhan MRSM Kuala Terengganu

MRSM Kuala Terengganu telah ditubuhkan pada tahun 1978, yang merupakan MRSM yang kelima selepas MRSM Seremban, Pengkalan Chepa, Kuantan dan Kulim. MRSM Kuala Terengganu telah dirasmikan oleh YAB Tun Dr Mahathir Mohamed pada 1 Julai 1978.

Lokasinya terletak di Wakaf Tengah, Mengabang Telipot, 25 kilometer dari Bandar Kuala Terengganu. Keluasan keseluruhan kampus adalah seluas 53 ekar dengan kira-kira 80% telah dibangunkan. Struktur bangunan telah melalui tiga fasa perubahan iaitu :

Fasa I : Blok A - Pentadbiran dan Akademik, Wisma Pelajar dan Surau

Fasa II : Asrama Pelajar, Blok B - Akademik, Rumah Pengetua, Rumah Timbalan Pengetua PP dan Rumah IMG

Fasa III : Blok C - Pentadbiran dan Akademik dan Asrama Perempuan

Pengambilan pertama pelajar adalah seramai 157 orang dalam Tingkatan satu pada 1 Mac 1978 dengan 13 orang tenaga pengajar, 3 orang tenaga perkeranian dan 38 orang staf sokongan yang lain. Pengambilan pelajar adalah berjumlah 150 orang setiap tahun dan mencapai populasi maksimum seramai 750 orang pada tahun 1982. Kumpulan pelajar pertama menduduki peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP) pada tahun 1980 dan peperiksaan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) pada tahun 1982. Pengambilan pelajar Tingkatan 4 bermula pada tahun 1987 berjumlah 111 orang. Pengetua yang pertama ialah En Khu Khiok Boon yang bertugas pada 15 Feb 1978 hingga 31 Dis 1979.

Lokasi MRSM Kuala Terengganu

[Peta Lokasi]

MRSM Kuala Terengganu terletak kira-kira 25 km dari bandar Kuala Terengganu. Berhampiran dengan Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Darul Iman (Kampus KUSZA), Institut Pendidikan Guru Kampus Dato' Razali Ismail, Institut Teknologi Petroliam PETRONAS (INSTEP), Institut Latihan Perindustrian Terengganu (ILPT), Sekolah Menengah Sains Terengganu dan Sekolah Menengah Teknik Terengganu.

MRSM Kuala Terengganu mudah untuk dikunjungi kerana berada kira-kira 10 km daripada lapangan terbang antarabangsa Sultan Mahmud Kuala Terengganu.

Terletak di tepi jalan utama ke Kota Bharu, Kelantan melalui jalan pantai, kira - kira 12 km dari Pantai Perkelahan Merang yang merupakan pengkalan utama ke destinasi Peranginan Pulau Redang dan Pulau Perhentian.